Friday 4 May 2012

Perlukah pengambilan suplemen?


Biasanya, orang dewasa yang sihat dan mengambil makanan seimbang yang merangkumi semua kumpulan makanan tidak memerlukan suplemen (makanan tambahan). Kebanyakan keperluan pemakanan boleh dipenuhi melalui makanan, terutamanya jika mengamalkan diet pelbagai dan seimbang berasaskan Piramid Makanan Malaysia. Secara amnya, makanan segar mempunyai lebih banyak faedah berbanding dengan suplemen.

Membekalkan lebih banyak nutrien
Makanan biasanya membekalkan pelbagai nutrien yang diperlukan. Contohnya oren membekalkan vitamin C, beta-karoten, dan banyak nutrien lain sementara suplemen vitamin C hanya membekalkan vitamin C sahaja.

Mengandungi serat yang penting
Makanan seperti bijirin, buah-buahan, sayur-sayuran, dan kekacang membekalkan serat yang bermanfaat dalam mencegah penyakit seperti diabetes dan penyakit jantung.

Bahan perlindungan yang bermanfaat
Selain daripada nutrien, sesetengah makanan mengandungi bahan semula jadi seperti fitokimia yang terdapat dalam buah-buahan dan sayur-sayuran. Fitokimia membantu melindungi daripada kanser, penyakit jantung, diabetes dan tekanan darah tinggi. Sesetengah fitokimia juga adalah sumber antioksidan yang baik, yang membantu untuk melambatkan proses pengoksidaan- proses yang menyebabkan kerosakan sel dan tisu.

Namun terdapat kumpulan individu tertentu yang mungkin memerlukan pengambilan suplemen, seperti:

Wanita mengandung harus mengambil suplemen zat besi pranatal dan juga 400µg asid folik sehari. Ini hanya boleh dicapai melalui suplemen atau makanan yang diperkayakan dengan asid folik. Malah suplemen asid folik harus diambil sebelum mengandung. Asid folik bagus untuk wanita kerana ia akan menguatkan rahim. Bagi wanita yang mengandung, asid folik membantu dalam pembentukan tulang belakang dan otak bayi. Kekurangannya akan menyebabkan kecacatan pada bayi yang dipanggil “Neural Tube Defects” atau NTD. 


Neural Tube Defects

Warga emas tidak dapat makan dengan baik atau mempunyai masalah pengunyahan kerana kehilangan gigi atau gigi palsu yang tidak muat dengan betul.

Pengamal diet vegetarian yang mengambil pilihan makanan yang terhad memerlukan suplemen vitamin B-12. Vitamin B-12 boleh didapati daripada makanan yang diperkayakan dengan vitamin B-12 seperti bijirin, atau suplemen.


Umumnya, kanak-kanak tidak memerlukan apa-apa suplemen. Namun jika kanak-kanak memilih makanan tertentu dan makan terlalu sedikit sehingga menyebabkan pertumbuhan terjejas, suplemen diet mungkin akan disyorkan sebagai langkah pendek untuk memastikan mereka mendapat semua keperluan pemakanan. Adalah penting bagi mendapatkan nasihat daripada pakar pemakanan atau pakar diet tentang jenis suplemen yang diperlukan dan tempoh pengambilannya. Jangan mengambil suplemen atas keputusan sendiri kerana pengambilan berlebihan suplemen seperti vitamin A dan vitamin E boleh menyebabkan kesan toksik.

Sumber: Pemakanan & keluarga

0 comments:

Post a Comment