• Kekalkan pengambilan karbohidrat kerap tapi berpada.




  • Elakkan sikap pantang jumpa dan suka mencuba makanan baru.




  • Pesakit yang mengambil ubat kencing manis, darah tinggi atau kolesterol, boleh mengubahsuai ubatan mengikut diet yang sesuai.




  • Paling utama, amalkan disiplin diri. Tidak salah untuk menjamu selera pada hari raya, tetapi hadkan pada hari pertama saja. Janganlah pula amalan itu berterusan selama sebulan.




  • Masuk hari kedua, buatlah pengubahsuaian terutama pesakit yang mengambil insulin dan perlu menjaga kadar gula dalam darah.




  • Elakkan memakan banyak makanan berlemak dan tinggi karbohidrat.


    Kurang gula, garam, minyak

    Gula sebenarnya boleh wujud secara semula jadi (dalam buah-buahan, sayur-sayuran berkanji, susu dan hasil tenusu) atau secara tersembunyi (gula yang ditambah semasa memproses makanan dan semasa memasak di rumah. Contohnya minuman ringan, minuman kordial, minuman bergula, gula-gula serta kuih-muih tradisional).

    Mengurangkan gula

    Perlu diingat, pengambilan gula yang sederhana dalam sehari adalah dalam lingkungan 10 sudu teh (50 gram) termasuk bagi gula semula jadi atau gula tersembunyi. Namun gula dalam minuman adalah amat berbahaya kerana badan kita tidak dapat tukarkan gula ini kepada tenaga. Gula yang terkumpul ini akan ditukar kepada lemak yang menyebabkan seseorang itu gemuk dan berisiko mengidap penyakit seperti diabetes dan penyakit jantung. Gigi juga boleh rosak.

    Mengurangkan garam

    Garam diperlukan dalam menyedapkan juadah makanan. Tetapi pengambilan garam secara berlebihan membahayakan kesihatan. Kita memerlukan garam dalam kuantiti yang sedikit. Ini kerana garam yang berlebihan berkait dengan tekanan darah tinggi. Jadi, sepanjang lebaran pastikan tidak menggunakan garam secara berlebihan. Selain itu, bahan-bahan makanan seperti herba (kayu manis, bunga cengkih, bunga lawang) boleh juga dijadikan pengganti dalam menyedapkan juadah. Bahan-bahan seperti ini kurang bahan perisa dan ia juga mempunyai khasiat tersendiri yang baik untuk kesihatan.

    Mengurangkan minyak

    Apabila menjelang lebaran, masyarakat kita banyak menggunakan minyak dalam masakan. Ini ditambah pula dengan penggunaan santan untuk membuat rendang sedangkan minyak yang berlebihan dalam masakan boleh mengundang penyakit. Untuk rendang, cuba elakkan menggunakan minyak masak. Cukuplah hanya menggunakan santan sahaja kerana santan boleh bertindak sebagai minyak. Jadi, apabila minyak dan santan digunakan sekali, ia menyebabkan minyak berlebihan.

    Melebihkan buah-buahan

    Makanan ini sering dilupakan semasa menghidang juadah semasa lebaran. Apa kata, gunakan buah-buahan untuk dijadikan pengganti pemanis mulut. Buah-buahan pelbagai rasa, warna, bentuk dapat menarik tetamu. Lebih menarik, ia kaya vitamin C yang amat diperlukan badan.

    Melebihkan sayur-sayuran

    Selain hidangan daging dan ayam, sayur-sayuran yang kaya serat dan zat mineral ini juga boleh dijadikan juadah. Ini kerana kandungannya itu amat penting bagi tubuh dan sistem penghadaman. Kehadiran serat ini dapat membantu mengurangkan tahap kolesterol darah. Sehubungan itu, hidangan sayur-sayuran amat penting semasa menikmati juadah lebaran kerana dapat mengimbangi diet kita terutama sekali tahap kolesterol darah yang terhasil daripada pengambilan daging dan ayam. Misalnya, semasa memasak mi goreng, lebihkan sayur-sayuran sebagai rencah utama.

    Sumber: Kementerian Kesihatan