Thursday 31 January 2013

Kenali Sumber Makanan Tinggi Kalsium

Hampir semua orang tahu sumber makanan tinggi kalsium datangnya dari susu dan segala produk tenusu. Tetapi bagaimana pula dengan pengguna yang tidak suka meminum susu atau tidak boleh meminum susu atas sebab alahan? Dari mana mereka nak dapatkan sumber kalsium?


Tahukah anda terdapat pelbagai jenis makanan yang mempunyai kandungan kalsium yang tinggi termasuk dari sayur-sayuran, makanan laut dan juga kekacang.

Kailan, sayur hijau yang mengandungi kalsium
Ulam-ulaman / sayur-sayuran adalah contoh makanan yang tinggi kalsium. Berikut merupakan senarai sayur/ulam serta kandungan kalsium berdasarkan Nutrient Composition of Malaysian Foods :
Pucuk betik (290 mg)
Ulam raja (270 mg)
Daun pudina (216 mg)
Daun pegaga (171 mg)
Kailan (179 mg)
Sawi (136 mg)
Pucuk paku (79 mg)

Pastikan anda mengambil 3 sajian sayur-sayuran (3 cawan) setiap hari bagi mendapatkan kalsium serta sumber mineral lain seperti magnesium, vitamin K, vitamin B dan lain-lain yang juga dapat membantu dalam perkembangan tulang.


Ikan bilis beserta tulang dapat meningkatkan kandungan kalsium
Selain itu, sumber kalsium juga boleh didapati di dalam makanan laut seperti ikan bilis (440 mg), udang kering (128 mg), dan juga ikan sardin dalam tin yang mengandungi 363 mg kalsium. Walaubagaimanapun, ikan bilis akan kehilangan kandungan kalsiumnya jika dibuang kepala dan dibersihkan tulangnya. Bagi mengekalkan kandungan kalsium, ikan bilis mestilah dibersihkan dengan tidak membuang tulangnya yang menyimpan banyak kalsium. Cincalok dan belacan juga merupakan makanan tradisional yang tinggi kalsium.


Anda mungkin menggemari makanan yang bersumberkan kekacang seperti air soya, tofu, kacang kuda, tau foo fah dan sebagainya. Makanan-makanan seperti ini juga mengandungi kandungan kalsium yang tinggi di mana 1 cawan soya mentah mengandungi 349 mg kalsium, 1 cawan tau foo fah mengandungi 163 mg kalsium manakala masing-masing mengandungi sebanyak 268 mg dan 326 mg kalsium terdapat di dalam kacang kuda dan kacang dhal kuning.

Tau foo fah, diperbuat dari kacang soya yang tinggi kalsium

Walaubagaimanapun, produk makanan tenusu seperti susu UHT, yogurt, keju, susu penuh krim dan lain-lain lebih dikenali atas kandungan kalsiumnya. Jadi, jika anda tidak mengambil makanan tenusu, jangan risau terhadap kandungan kalsium dalam badan anda selagi anda masih mengambil sayur-sayuran, makanan laut mahupun kekacang.

Sumber : Eat Well, Live Well 
(Chia Joo Suan)

0 comments:

Post a Comment