Assalamualaikum dan Salam sejahtera kepada semua. Rasanya belum terlambat untuk kami mengucapkan ucapan Selamat Berpuasa di bulan Ramadhan yang penuh berkat ini kepada seluruh umat Islam di Malaysia mahupun di seluruh dunia. Umum mengetahui bahawa seluruh manusia yang menganut Agama Islam diwajibkan berpuasa (iaitu menahan diri dari makan, minum dan melakukan perkara maksiat dari terbit fajar hingga terbenam matahari) setiap bulan Ramadhan pada setiap tahun. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud :
“Wahai orang-orang beriman !Kamu diwajibkan berpuasa sebagimana yang diwajibkan atas orang orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa..” (Al-Baqarah,183-185)
Justeru sempena ini, kami ingin berkongsi tentang kelebihan berpuasa dari sudut kesihatan tubuh badan kita.
Penurunan Berat Badan
Ternyata dengan berpuasa kita mampu menurunkan berat badan dengan sihat dan murah. Ini kerana pada kebiasaannya orang yang berpuasa mengambil kurang sedikit ‘energy intake’ berbanding ‘energy expenditure’. Justeru, ini akan menjurus seseorang itu dapat menggunakan tenaga dari lemak yang berlebihan dalam badan. Ini amat berbeza dengan amalan ‘crash diet’ atau diet yang tidak teratur seperti tidak memakan sebahagian kelas pyramid makanan seperti nasi contohnya. Penurunan berat badan dengan berpuasa selalunya lebih stabil di mana pesakit tidak mengalami masalah kenaikan berat badan secara mendadak sekiranya seseorang berhenti puasa.
Mempercepat Proses Pemulihan
Ketika berpuasa, penggunaan tenaga diarahkan dari sistem penghadaman ke sistem-sistem lain seperti penyembuhan, imun atau metabolisme badan. Manakala, proses penggantian tisu yang rosak menjadi bertambah baik hasil proses pembentukan protein sintesis yang semakin berkesan yang disebabkan oleh antibodi badan yang lebih teratur. Pembentukan protein yang lebih efisien akan menghasilkan sel-sel serta tisu yang lebih sihat.
Awet Muda dan Memanjangkan Usia
Hormon pertumbuhan, sejenis hormon anti penuaan didapati dirembeskan dengan banyaknya ketika berpuasa. Seperti yang anda tahu orang yang berpuasa membuatkan tubuh badan kita menjadi sedikit berkeadaan ‘hypoglycemia’ dan ini akan menyebabkan kelenjar pituitary untuk merembeskan lebih banyak hormon pertumbuhan.
Mengurangkan Risiko Penyakit Aterosklerosis
Kajian turut mengesahkan penurunan dari segi kandungan kolesterol dan gula dengan mengurangkan pengambilan makanan berlemak dan bergula. Kandungan 'Low density lipoprotein' yang merupakan kolestrol 'jahat' tentunya mengurangkan risiko penyakit aterosklerosis (sejenis penyakit pada arteri di mana plak-plak berlemak berkembang pada dinding-dinding dalam dan akhirnya menyebabkan aliran darah tersekat). Keadaan ini terutamanya berlaku di kalangan pesakit diabetes.
Solat Tarawikh Memetabolismekan Makanan
Cantik sekali apabila bulan puasa turut diiringi dengan sembahyang sunat tarawih pada sebelah malamnya. Ianya membantu memproses makanan yang dimakan ketika berbuka untuk digunakan sebagai tenaga (sehingga 200 kalori). Di samping itu, ianya juga bertindak sebagai satu cara senaman yang ringkas dan baik untuk menguatkan sistem kardiovaskular (jantung dan aliran darah).
Mendisiplinkan Diri Agar Berhenti Merokok
Amalan puasa juga dapat melatih diri meninggalkan amalan yang kurang baik seperti mengurangkan nikotin yang berbahaya di dalam tubuh perokok. Ketika siang hari, perokok boleh meninggalkan rokok kerana terpaksa berpuasa manakala pada malam hari, perokok boleh meninggalkan rokok kerana memenuhkan masa dengan melaksanakan ibadah seperti solat sunat tarawikh dan tadarus al-Quran. Merokok amat merbahaya kerana akan memudaratkan kesihatan seperti penyakit kanser paru-paru, sakit jantung dan penyakit sekatan pernafasan.
Ketenangan Mental
Dari segi kesihatan mental, umat manusia berasa lebih tenang di bulan Ramadan yang mulia ini. Ganjaran yang berlipat ganda pada bulan puasa menjadikan mereka lebih bertumpu kepada menunaikan ibadah, sekali gus menenangkan fikiran. Di samping itu, kita akan menjadi lebih fokus kerana tidak terlalu memikirkan tentang pelbagai juadah untuk dimakan. Tambahan pula, lebih banyak darah akan ditujukan kepada organ selain dari ‘GI tract’, seperti otak membuatkan fikiran kita lebih tajam dan tidak mudah leka.
Pemakanan di Bulan Ramadan
Pastikan makanan yang seimbang (buah-buahan, sayur-sayuran, karbohidrat, protein) ketika bersahur dan berbuka puasa. Tidak perlu makan banyak. Ketika berbuka disunatkan mengambil kurma kerana kandungan gula yang tinggi bertindak sebagai pemberi tenaga yang pantas manakala air kosong untuk menghidrasikan semula tubuh yang kekurangan air. Sementara itu, ketika bersahur adalah lebih baik makan makanan yang lambat hadam iaitu bijirin seperti oats, gandum dan lain-lain kerana makanan jenis ini akan mengambil masa yang lebih lama untuk diproses iaitu, lapan jam. Justeru, ianya dapat membekalkan tenaga dengan lebih lama dan mengurangkan rasa lapar. Ini kerana makanan bijirin mempunyai kandungan serat yang tinggi lebih-lebih lagi jenis bijirin serat penuh (wholemeal grains)
Sumber : Mingguan Malaysia (2 Oktober 2005)
Sumber imej : iluvislam.com